Jurnal Bahasa: Jilid 11 Bil.1, Jun 2011

Jun 1, 2011 at 7:50 am | Dikirim dalam Uncategorized | Tinggalkan komen

 

KANDUNGAN

Representasi Sintaksis Operator Bahasa Melayu Berdasarkan Pendekatan Tatabahasa Peranan dan Rujukan

Ardiana Ali Amat
dian_lee11@yahoo.com

Maslida Yusof
maslida@ukm.my

Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Universiti Kebangsaan Malaysia

ABSTRAK Makalah ini meneliti bentuk dan peranan operator bahasa Melayu dari aspek sintaksis. Aspek intaksis operator bahasa Melayu diteliti berdasarkan kerangka teori Tatabahasa Peranan dan Rujukan  (TPR). Makalah ini menggunakan kata tugas yang disenaraikan dalam buku Tatabahasa Dewan  sebagai asas analisis operator bahasa Melayu. Kajian ini menyenaraikan tujuh jenis operator dalam bahasa Melayu, iaitu aspek, status, modaliti, arah, penafian, pembuktian dan ilokusionari. Setiap operator ini mempunyai peranannya dalam Struktur Berlapisan Klausa (SBK), iaitu operator aspek, penafian dan arah mengubah suai ayat pada peringat nukleus; operator modaliti pula mengubah suai peringkat inti, dan akhir sekali operator status, bukti dan ilokusionari pula mengubah suai ayat pada peringkat klausa. Dengan menggunakan kerangka TPR, kajian ini menunjukkan satu cara alternatif untuk menjelaskan bentuk dan peranan operator bahasa Melayu.

KATA KUNCI: operator, tatabahasa peranan dan rujukan, sintaksis, struktur berlapisan klausa, nukleus, inti dan klausa

Golongan dan Rumus Kata Gandaan Berima

Mohd Yunus Sharum
myunus@fsktm.upm.edu.my

Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat
Universiti Putra Malaysia

Zaitul Azma Zainon Hamzah
zaitul@fbmk.upm.edu.my

Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi
Universiti Putra Malaysia

ABSTRAK Kata gandaan berima merupakan satu golongan kata dalam bahasa Melayu. Namun, terdapat masalah berkaitan ciri penggolongan dan pengenalpastian pembentukannya. Dalam makalah ini kata gandaan berima dikaji dan beberapa ciri khusus definisinya diketengahkan. Selain itu, aspek pembentukan strukturnya dijelaskan dengan menggunakan model Morpheme Doubling Theory (MDT) berserta hipotesis “acuan makna”. Tiga rumus pembentukan gandaan rima dijelaskan secara terperinci. Melalui kajian ini, empat golongan kata gandaan berima dikenal pasti melibatkan dua golongan baharu berdasarkan rumus. Kesimpulannya, golongan dan penggandaan berima boleh diperjelas secara lebih terperinci, dengan kekangan pada sesetengah aspek.

KATA KUNCI: morfologi, analisis morfologi, penggandaan berima, bahasa Melayu

Analisis Akustik Ruang Vokal Kanak-Kanak Melayu

Badrulzaman Abdul Hamid
badrulhamid@yahoo.com

Jabatan Audiologi dan Sains Pertuturan
Fakulti Sains kesihatan
Universiti Kebangsaan Malaysia

Ruby Izyan Atika Abu Bakar
rubyatika@gmail.com

Unit Pertuturan-Bahasa dan Suara
Jabatan Otorinolaringologi (Orl)
Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, kedah

ABSTRAK kajian ini bertujuan menyelidik ruang vokal akustik kanak-kanak berbangsa Melayu yang berusia dalam lingkungan satu tahun hingga empat tahun. Seramai lapan orang kanak-kanak telah dipilih sebagai subjek kajian. mereka dibahagikan kepada empat kumpulan umur dan diwakili dua orang kanak-kanak bagi setiap kumpulan. dua orang subjek dewasa turut mengambil bahagian dalam kajian ini. Semua subjek menetap di kawasan kuala lumpur. Sampel pertuturan dalam perbualan subjek direkodkan dengan menggunakan perakam audio digital dan dianalisis dengan menggunakan perisian Praat. nilai forman 1 (F1) dan forman 2 (F2) yang diperoleh daripada analisis akustik diplotkan di atas graf. Enam vokal melayu, iaitu vokal /a,i,u,e,o,´/ dikenal pasti dan dihuraikan. Perkembangan serta perubahan bentuk ruang vokal bagi setiap kumpulan umur diterangkan. Perbincangan dilakukan dengan mengaitkan hasil kajian dengan penjelasan perkembangan fisiologi saluran suara dan artikulator, serta umur subjek. Perbandingan juga dibuat antara ruang vokal kanak-kanak dengan dewasa. Hasil kajian menunjukkan bahawa terdapat perubahan dari segi bentuk ruang vokal serta kedudukan jenis vokal dalam ruang vokal apabila umur kanak-kanak meningkat. kajian juga mendapati bahawa kanak-kanak semakin menunjukkan bentuk ruang vokal seperti kumpulan dewasa apabila umur mereka bertambah. Walau bagaimanapun, saiz ketinggian dan kelebaran ruang vokal kanak-kanak dilihat tidak linear dengan perkembangan umur mereka.

KATA KUNCI: ruang vokal, forman, saluran suara, artikulator, frekuensi asas

Penguasaan Tatabahasa Remaja Malaysia: Analisis Pragmatik

Nor Hashimah Jalaluddin
shima@ukm.my

Julaina Nopiah
julaina.nopiah@city.edu.my

Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Universiti Kebangsaan Malaysia

ABSTRAK Kajian penguasaan pragmatik ini melibatkan kira-kira 300 remaja yang merupakan pelajar tingkatan empat di Semenanjung Malaysia yang dipilih secara rawak mengikut zon, iaitu zon tengah (Negeri Sembilan), zon timur (Kelantan) dan zon utara (Kedah). Pelajar tersebut dikehendaki menjawab soalan soal selidik dan menduduki ujian bertulis yang telah disediakan. Aspek yang difokuskan dalam kajian ini ialah tatabahasa. Dalam bahagian ini, pengkaji akan menumpukan kepada dua bahagian, iaitu kemahiran membina ayat menggunakan kata “bermuka-muka” dan “terkemuka”, dan kemahiran mengaplikasi peribahasa “berat mata memandang, berat lagi bahu memikul”. Hasil kajian menunjukkan bahawa remaja Malaysia masih lemah dalam menguasai soalan yang memerlukan maklumat pragmatik. Secara keseluruhannya, tahap penguasaan pragmatik remaja Malaysia masih pada tahap kurang memuaskan (memperoleh peratusan) betul antara 50-69 peratus bagi “berat mata memandang, berat lagi bahu memikul”, “bermuka-muka” dan “terkemuka”.

KATA KUNCI: pragmatik, remaja, tatabahasa, peribahasa, ujian bertulis

Unsur Eufemisme dalam Novel Papa dan Azfa Hanani

Noor Hatini binti Zolkifli
thisheart_hatini87@yahoo.com

Siti Saniah Abu Bakar
saniah@fbk.upsi.edu.my

Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu
Fakulti Bahasa dan Komunikasi
Universiti Pendidikan Sultan Idris

ABSTRAK Makalah ini meneliti penggunaan unsur eufemisme dalam novel, iaitu penggantian perkataan yang dianggap tabu atau kasar. Novel bertajuk Papa digunakan di sekolah-sekolah di negeri Selangor, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, manakala novel Azfa Hanani pula digunakan di sekolah-sekolah di negeri Perak, Kedah, Perlis dan Pulau Pinang. Kajian ini menggunakan dua kaedah untuk memperoleh data, iaitu kaedah kepustakaan dan kaedah analisis teks. Dapatan kajian menunjukkan novel Azfa Hanani menggunakan sebanyak 36 unsur eufemisme atau sebanyak 57.1 peratus. Novel Papa menggunakan 27 unsur eufemisme, iaitu sebanyak 42.9 peratus. Berdasarkan unsur eufemisme tersebut, didapati sebanyak 11 unsur dalam dialog yang terdapat dalam novel Papa dan novel Azfa Hanani mengandungi enam unsur dalam dialog yang menepati Maksim Santun Leech (1993). Penggunaan unsur eufemisme perlu lebih diberi perhatian oleh guru, pelajar dan penulis kerana unsur eufemisme merupakan bahasa sopan yang bersesuaian dengan peringkat umur pelajar. Penggunaan unsur eufemisme dalam kehidupan seharian dapat melahirkan pelajar dan masyarakat yang lebih santun dalam pemilihan bahasanya.

KATA KUNCI: eufemisme, santun berbahasa, Komsas, novel, dunia Remaja

Penyerapan dan Pengubahsuaian Konsonan Arab dalam Bahasa Melayu

Zaharani Ahmad
zaharaniahmad@gmail.com

Jabatan Melayu-Indonesia
Hankuk University of Foreign Studies
Maizura Osman
maizuraosman@yahoo.com

Nor Hashimah Jalaluddin
nhj7892d@gmail.com

Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Universiti Kebangsaan Malaysia

ABSTRAK Makalah ini menganalisis dan menjelaskan perilaku fonologi kata pinjaman Arab yang diserap masuk ke dalam bahasa Melayu, khususnya yang melibatkan bunyi konsonan. Konsonan Arab yang realisasinya sejajar dengan konsonan bahasa Melayu tidak menimbulkan masalah kerana konsonan tersebut boleh diterima oleh sistem nahu bahasa natif. Namun, bagi konsonan Arab yang tidak ada kesejajarannya dalam bahasa Melayu, dua perilaku fonologi didapati berlaku, iaitu (i) konsonan asing itu diserap sebagaimana bentuk asalnya dan menjadi sebahagian daripada inventori fonem bahasa Melayu, dan (ii) konsonan asing itu diubah suai dan digantikan dengan konsonan asli bahasa Melayu. Sama ada sesuatu konsonan itu mengalami proses penyerapan atau pengubahsuaian ditentukan oleh faktor cara dan daerah artikulasi. Sekiranya cara dan daerah artikulasi yang menghasilkan konsonan Arab itu serasi dengan bahasa Melayu, maka konsonan tersebut diserap sepenuhnya. Sebaliknya, jika cara dan daerah artikulasi konsonan itu sangat asing bagi bahasa Melayu, maka pengubahsuaian harus dilakukan. Proses fonologi yang melibatkan pengubahsuaian konsonan dianalisis dengan menggunakan teori fonologi autosegmental geometri fitur. Tiga rumus fonologi yang beroperasi di sini ialah rumus nyahbukalisasi, rumus nyahfaringealisasi dan rumus pembelakangan. Ketiga-tiga rumus ini dianalisis sebagai proses penyahhubungan autosegmen tertentu daripada representasi geometri fitur konsonan berkenaan.

KATA KUNCI: artikulasi, autosegmental, fitur distingtif, geometri fitur, Penyahhubungan

Variasi Kata Soal “Mengapa” dalam Dialek Kedah: Satu Analisis Sintaksis1

Fazal Mohamed Mohamed Sultan
fazal@ukm.my

Nurulafiqah Suhaimi
nurulfika85@yahoo.co

Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Universiti Kebangsaan Malaysia

ABSTRAK Kajian dialek Melayu sebelum ini lebih menumpukan aspek sebutan dan leksikal. Kajian ini  pula menumpukan aspek sintaksis, iaitu terhadap kata soal dalam dialek Melayu yang didapati menarik untuk dikaji. Kata soal digunakan bagi membina ayat soal dalam berbagai-bagai-bagai penggunaan bahasa termasuk dialek. Kata soal dikatakan mempunyai dua kedudukan, iaitu pada awal atau pada akhir ayat. Justeru, satu tinjauan telah dilakukan melalui kajian lapangan di negeri Kedah yang diwakili sebuah kampung di bahagian timur, barat, utara dan selatan negeri Kedah. Berdasarkan tinjauan, kata soal mengapa dalam Dialek Kedah (DK) bukan sahaja mempunyai dua posisi seperti yang dinyatakan, malah turut mempunyai variasi leksikal dalam penggunaan kata soal mengapa seperti pasai pa, awat, buat pa, rokpa dan sebab pa. Makalah ini akan menghuraikan fenomena kata soal “mengapa” berdasarkan variasi leksikal yang dimiliki dialek ini melalui analisis sintaksis berpandukan kerangka Program Minimalis (Chomsky, 1995). Kajian ini menjelaskan fenomena yang berlaku dalam ayat soal DK berdasarkan faktor OP (Operator) dan VAR (Variabel) serta fenomena [± in situ] yang menyebabkan sesuatu kata soal itu in situ atau bergerak. Kajian mendapati bahawa Minimalis boleh “melihat” adjung. Penemuan ini bertentangan daripada pendapat Chomsky.

KATA KUNCI: dialek, kata soal, program minimalis, nahu, argument

Jurnal Bahasa: Jilid 10 Bil. 2, Disember 2010

Disember 16, 2010 at 1:31 am | Dikirim dalam Uncategorized | Tinggalkan komen
Label:

KANDUNGAN

Imbuhan Kompleks Kata Nama Ke-…-an Bahasa Melayu: Analisis Data Korpus

Zaharani Ahmad
zaharani@ukm.my

Shakira Khairudin
kira_5667@yahoo.com

Pusat Bahasa dan Linguistik
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Universiti Kebangsaan Malaysia

ABSTRAK Makalah ini bertujuan menghuraikan proses morfologi yang melibatkan penghasilan imbuhan kompleks kata nama ke-…-an dalam bahasa Melayu. Kajian ini mengunakan data sekunder yang terdapat dalam pangkalan data korpus UKM-DBP yang berjumlah lima juta patah perkataan. Data dijana dengan menggunakann perisian Wordsmith Tools 4.0 dan dipaparkan dalam bentuk baris konkordans. Kata terbitan yang terdiri daripada imbuhan kompleks dikelompokkan dalam kumpulan tertentu berdasarkan jenis imbuhan yang bergabung dengan apitan ke-…-an. Data ini dianalisis dan dihuraikan secara deskriptif dan teoritis menurut kerangka teori morfologi leksikal. Dapatan kajian juga menunjukkan bahawa selain rangkap awalan, rangkap akhiran juga wujud dalam bahasa Melayu.

KATA KUNCI imbuhan kompleks, morfologi leksikal, rumus kitaran, korpus, strata

Keberkesanan Aplikasi TMK dalam Meningkatkan Penguasaan Kemahiran Membaca Murid:
Satu Kajian Kes

Abul Fuad Mohamed Salim
fuad.btpnkel@moe.edu.my

Bahagian Teknologi Pendidikan Kelantan

Izani Hj Daud
izani.hd@yahoo.com.my

Sekolah Menengah Kebangsaan Salor, Kota Bharu, Kelantan

ABSTRAK Kajian ini dilaksanakan bertujuan menilai keberkesanan aplikasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dalam meningkatkan penguasaan kemahiran membaca murid, minat dan penglibatan mereka semasa proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Alat ukur kajian ini ialah ujian pra- dan ujian pasca- bagi melihat keberkesanan penguasaan kemahiran membaca dan Instrumen Pemerhatian Guru bagi mengukur minat dan penglibatan murid. Dua kaedah P&P diguna pakai dalam kajian ini, iaitu kaedah Stand Alone yang menyamai situasi dan kemudahan TMK di makmal komputer dan pusat akses sekolah dan kaedah Bilik Darjah. Penyampaian kemahiran membaca kepada murid dilakukan secara pengayaan kendiri dan berfokuskan guru. Dapatan kajian menunjukkan minat murid adalah tinggi dalam proses P&P menggunakan TMK dan kaedah Stand Alone. Kaedah ini lebih diminati berbanding kaedah Bilik Darjah. Penglibatan murid juga adalah tinggi dalam proses P&P menggunakan TMK, dan tiada perbezaan penilaian pemerhatian bagi kaedah Stand Alone dan kaedah Bilik Darjah. Secara keseluruhan telah berlaku peningkatan secara menyeluruh dalam penguasaan kemahiran membaca murid-murid.

KATA KUNCI aplikasi TMK, kemahiran membaca, murid pemulihan, kaedah Stand Alone, kaedah Bilik Darjah

Wawangsalan Bahasa Sunda

Gugun Gunardi
adeugun@gmail.com

Fakultas Sastera
Universitas Padjajaran
Indonesia

ABSTRAK Wawangsalan dalam bahasa Sunda merupakan susunan kata dalam bentuk teka-teki yang sama dengan wangsalan dalam Kesusasteraan Cirebon. Wawangsalan dalam khazanah sastera Sunda termasuk salah satu daripada bentuk sisindiran. Sisindiran adalah bentuk puisi semacam pantun dalam sastera Melayu. Sisindiran tumbuh dan berkembang dalam masyarakat bahasa Sunda umumnya. Sisindiran berasal daripada kata sindir “sindir, menyindir”, ertinya berkata secara tidak langsung atau tidak terus terang. Sisindiran ialah suatu bentuk puisi sastera tradisional Sunda yang mempunyai sampiran dan isi. Sisindiran ini merupakan karya sastera Sunda asli yang sudah ada sejak dulu, jauh sebelum kedatangan Islam. Dalam tulisan ini, yang akan menjadi fokus pembicaraan adalah wawangsalan-tataruncingan. Wawangsalan yang terdiri daripada dua baris, iaitu baris pertama sebagai teka-teki, dan baris kedua sebagai erti sekali gus bahagian memandu pendengar untuk meneka isi teka-teki baris pertama. Sindir dalam wawangsalan berupa menegur, mengingatkan, memohon sesuatu, atau menggambarkan sifat seseorang secara tidak langsung.

KATA KUNCI wawangsalan, teka-teki, sisindiran

Sintaksis Kata Soal Argumen Bahasa Mendriq: Kerangka Minimalis

Fazal Mohamed Mohamed Sultan
fazal@ukm.my

Nor Hashimah Jalaluddin
shima@ukm.my

Harishon Radzi
naslin@ukm.my

Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Universiti Kebangsaan Malaysia

ABSTRAK Umumnya, ada tiga pola utama berhubung dengan kedudukan kata soal. Pola pertama ialah kata soal berpindah ke posisi awal kalimat dan mengambil ruang lingkup awal kalimat yang dikenali sebagai posisi skop ayat soal tersebut. Pola kedua ialah kata soal mempunyai kedudukan yang sama yang akan diduduki oleh jawapannya nanti, fenomena ini disebut sebagai wh in-situ. Pola ketiga ialah kata soal dapat berpindah ke tengah-tengah kalimat, yang dikenali sebagai kata soal separuh gerak. Mendriq merupakan bahasa yang dituturkan oleh sebilangan kecil peribumi di Malaysia Timur, menunjukkan dua pola kata soal, iaitu kata soal bergerak dan pada kata soal in situ, dalam kalimat yang sama. fenomena ini sangat nyata dalam kedua-dua kata soal, iaitu naken “siapa” dan luk ai atau alow “apa”, yang dikenali sebagai kata soal argumen dalam penulisan ini. Kami mendakwa bahawa kata soal ini tidak hanya bersifat in situ tetapi kedua-duanya juga mengamati pergerakan. Chomsky (1993) mencadangkan fitur [Q] memiliki ciri yang kuat dalam semua bahasa. Selain itu, Adger (2003) pula mencadangkan bahawa [Q] yang kuat memiliki fitur tak berinterpretasi [uwh] yang kuat pada KOMP, mewajibkan kata soal berpindah ke kedudukan skop, iaitu Spek FKOMP, untuk menyemak fitur tak berinterpretasi secara lokal. Menjaga tuntutan Chomsky dan mengamati saranan Adger, penulis mencadangkan bahawa fenomena in situ dan fenomena pergerakan adalah kerana kehadiran Op kosong yang memiliki [wh] untuk kedua-dua kata soal dalam bahasa ini. Op ini boleh berpindah ke Spek FKOMP untuk menyemak secara lokal [uwh] yang menyebabkan kata soal tetap berada in situ atau kata soal boleh bergerak secara pilihan ke Spek FKOMP sebelum Cetusan untuk menyemak fitur tak berinterpretasi [uwh] pada Spek FKOMP.

KATA KUNCI sintaksis, kata soal, argumen, bahasa Mendriq, apa, siapa

Pengaruh Dialek dalam Pertuturan Bahasa Melayu Standard: Pencerakinan Bunyi Berasaskan Spektrogram

Shahidi A.H.
zedic@ukm.my

Rahim Aman
tuntas@ukm.my

Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Universiti Kebangsaan Malaysia

ABSTRAK Makalah ini bertujuan untuk menunjukkan bahawa wujud pengaruh dialek, khususnya dialek Melayu Kelantan dalam bahaa Melayu standard yang dituturkan oleh penutur natif Kelantan. Kajian ini mengenal pasti pola penasalan yang akan diteliti berasaskan analisis spektrografik. Tumpuan analisis ini ialah pada suku kata akhir perkataan sasaran yang dituturkan oleh penutur Melayu Kelantan ketika bertutur dalam dua konteks berbeza, iaitu ketika berbahasa Melayu standard dan tidak standard (dialek Melayu Kelantan). Analisis spektrografik (terhadap data kajian di sini merujuk kepada kajian perubahan ciri fonetik bunyi vokal dan konsonan pada suku kata akhir (sama ada frekuensi forman vokal [a] pada suku kata akhir kekal atau berubah kepada [e], dan sama ada isyarat-isyarat akustik bunyi konsonan nasal akhir kata terbukti kekal atau hilang). Dari segi hakikat fonetik, terdapat perbezaan pola penasalan dialek Melayu Kelantan dan bahasa Melayu standard. Berasaskan hakikat ini, kita mungkin mengandaikan wujudnya perbezaan pada ciri-ciri vokal dan konsonan pada suku kata akhir dalam pertuturan penutur Melayu Kelantan apabila penutur berkenaan bertutur dalam dua konteks/situasi yang berbeza, iaitu ketika berbahasa Melayu standard dan ketika bertutur dalam dialek Melayu Kelantan. Walau bagaimanapun, kajian ini membuktikan sebaliknya, iaitu ciri-ciri dialek Melayu Kelantan begitu kuat mempengaruhi pertuturan bahasa Melayu standard oleh penutur Melayu Kelantan.

KATA KUNCI
penasalan, dialek Melayu Kelantan, bahasa Melayu standard, analisis spektrografik

Analisis Kata Kerja dan Frasa Kerja Bahasa Melayu Kokos
di Pulau Home Australia

Raja Masittah Raja Ariffin
rajamasittah@putra.upm.edu.my

Jabatan Bahasa Melayu
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi
Universiti Putra Malaysia

ABSTRAK Makalah ini memerikan bentuk dasar kata kerja dan frasa kerja dalam bahasa Melayu yang digunakan orang Melayu Pulau Kokos, terutamanya di Pulau Home, yang terletak di Lautan Hindi, di luar Dunia Melayu. Kajian ini berasaskan kerangka yang diperkenalkan oleh Profesor Emeritus Dato’ Dr. Asmah Haji Omar (2008). Kajian ini berfokus pada penggunaan kata kerja, dan frasa kerja dalam komunikasi sehari-hari dalam kalangan anggota masyarakat Melayu di pulau tersebut. Wawancara dan temu bual dibuat dengan mengemukakan soalan terbuka untuk mendapatlam respons daripada informan dan kaedah pemerhatian turut serta digunakan dalam kajian ini. Berdasarkan data kajian, kata dan frasa kerja yang terdapat dalam struktur ayat bahasa Melayu Kokos ialah kata kerja baerlapis dan kata kerja majmuk, termasuklah kata kerja unggulan, kata kerja terbitan, kata kerja transitif, kata kerja tak transitif, dan kata kerja bantu. Hasil kajian menunjukkan bahawa bahasa Melayu Kokos menggunakan kata kerja sebagai satu sistem nahu yang dapat dibahagikan kepada subsistem tertentu yang penting dalam hubungannya dengan konteks dan makna.

KATA KUNCI bahasa Melayu Kokos, kata kerja, frasa kerja, sistem nahu

Prosodi dalam Syair Melayu: Fungsi dan Praktis

Indirawati Zahid
indirawati@um.edu.my

Jabatan Bahasa Melayu
Akademi Pengajian Melayu
Universiti Malaya

ABSTRAK Penyelidikan ini membincangkan prosodi dalam bahasa Melayu. Dalam kasus syair Melayu, prosodi ternyata digunakan secara optimum dalam menyampaikan mesej yang tersurat dengan makna emosi. Penyataan ini berlaku kerana struktur dan bentuk syair itu sendiri yang tidak terikat dengan bentuk nahu yang sempurna, iaitu memiliki poetic license. Bagi membuktikan penyataan ini, satu penyelidikan telah dijalankan dengan menggunakan lima metodologi, iaitu meliputi kerja lapangan, temu ramah, rakaman audio, eksperimental dan analisis data. Kerja lapangan dan pengumpulan data dilakukan di lokasi Semenanjung Malaysia yang dibahagikan kepada empat zon, iaitu Utara, Selatan, Timur dan Barat, juga di Sabah dan Sarawak, di Indonesia, Pekan Baru dan Medan serta Brunei Darussalam di Bandar Seri Begawan. Di setiap lokasi, informan yang terpilih, nyanyian syairnya akan dirakamkan untuk memperoleh variasi melodi syair. Data audio ini kemudiannya dianalisis melalui program PRAAT. Dapatan analisis memperlihatkan berlaku dua kasus, iaitu segmentasi unit maklumat dan penggunaan fitur prosodi secara optimum dalam penyampaian syair Melayu.

KATA KUNCI prosodi, segmentasi, stilisasi, unit maklumat, pola


Jurnal Bahasa: Jilid 10 Bil.1, Jun 2010

Jun 1, 2010 at 4:00 am | Dikirim dalam Uncategorized | Tinggalkan komen

KANDUNGAN

Pilihan Bahasa dan Lingua Franca Suku Kaum di Sarawak

Mohammed Azlan Mis
azlan_ukm@yahoo.com

Pusat Bahasa dan Linguistik
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Universiti Kebangsaan Malaysia

ABSTRAK Kajian ini membincangkan lingua franca suku kaum Melayu, Iban, Cina dan Melanau di negeri Sarawak. Di Sarawak terdapat bermacam-macam suku kaum dan masing-masing menggunakan bahasanya sendiri. Oleh yang demikian, lingua franca di Sarawak merupakan bahasa yang dipilih untuk berhubung dan bertukar–tukar fikiran antara satu sama lain agar hubungan antara suku kaum menjadi lebih erat dan sejahtera. Tentu sahaja bahasa perhubungan yang dipilih telah menjadi milik bersama, difahami, sesuai dan tidak menimbulkan masalah. Kewajaran kajian ini bertunjangkan lingua franca yang bertitik tolak daripada maklumat pilihan bahasa semasa yang digunakan dalam kehidupan sehari-hari. Sesuatu bahasa itu akan terus dipilih dan digunakan oleh semua pihak sama ada semasa situasi formal atau tidak formal sekiranya bahasa tersebut memenuhi peranan lingua franca. Hasil analisis pilihan bahasa responden Melayu, Iban, Cina dan Melanau di negeri Sarawak, didapati pilihan bahasa Iban dan dialek Melayu Sarawak lebih tinggi jika dibandingkan dengan pilihan bahasa yang lain. Walau bagaimanapun, pilihan bahasa Iban dilihat digunakan dalam situasi tidak formal dan pilihan bahasa dialek Melayu Sarawak pula semasa situasi formal.

KATA KUNCI lingua franca, pilihan bahasa, suku kaum, dialek Melayu Sarawak, bahasa Iban

Bahasa Melayu dan Jati Diri dalam Konteks Satu Malaysia:
Satu Kupasan Linguistik

Nor Hashimah Jalaluddin
shima@ukm.my

Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Universiti Kebangsaan Malaysia

ABSTRAK Setiap Negara yang berdaulat mempunyai jati diri yang boleh dibanggakan. Pengukur identiti yang mudah adalah melalui bahasa dan budaya. Malaysia yang asalnya dikenali dengan Tanah Melayu telah menetapkan bahasa Melayu (BM) sebagai bahasa rasmi yang termaktub dalam Perlembagaan Negara. Hal ini sepatutnya tidak boleh diganggu gugat lagi. Namun demikian, senario hari ini didapati kedudukan BM terus dipersoalkan sebagai bahasa kebangsaan dan perpaduan. Perkembangan sistem pendidikan pasca-Razak telah melemahkan kedudukan BM. Polisi baru yang menekankan kepentingan sains dan teknologi serta bahasa Inggeris (BI) telah menyebabkan ada segelintir rakyat mula hilang keyakinan pada BM. Perkembangan ini pula sejajar dengan orde baru dunia serta imperialisme bahasa yang menekankan kepentingan bahasa Inggeris dan pada masa yang sama menenggelamkan bahasa kebangsaan. Kajian Nor Hashimah et al. (2009) menunjukkan bahawa fenomena penguasaan bahasa yang semakin merosot dalam kalangan remaja turut melemahkan kedaulatan BM. Kertas ini cuba mengupas taraf BM dalam konteks Satu Malaysia pada hari ini dari perspektif linguistik.

KATA KUNCI peristilahan, imperialisme linguistik, neoimperialisme, kuasa hegemoni, identiti nasional

Akomodasi Aksen, Identiti dan Integrasi Kebangsaan

Idris Aman
idrisa@ukm.my

Rosniah Mustaffa
rosniah@ukm.my

Mohammad Fadzeli Jaafar
fadzeli@ukm.my

Pusat Bahasa dan Linguistik
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Universiti Kebangsaan Malaysia

ABSTRAK Artikel ini membincangkan akomodasi terhadap aksen standard kebangsaan dalam kalangan informan penutur asli Melayu di dua buah bandar raya di Malaysia, iaitu Kuching dan Kota Bharu. Kuching dipilih berdasarkan kedudukan geografinya yang terpisah dari wilayah pusat negara, iaitu Semenanjung Tanah Melayu, manakala Kota Bharu dipilih berdasarkan ketegaran dialek tempatan penuturnya. Kajian difokuskan pada dua pemboleh ubah fonologi yang signifikan dalam hal aksen bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, iaitu (a) pada akhir kata terbuka, seperti dalam kata kereta dan (r) pada kata tertutup, seperti dalam pasar. Status akomodasi aksen kebangsaan dilihat bersandarkan pemboleh ubah kelainan gaya bahasa dan bersandarkan dua pemboleh ubah konteks sosial bukan-linguistik, iaitu usia dan jantina informan dalam situasi formal dengan mengambil kira faktor kewilayahan dan kenatifan. Selanjutnya, realiti penggunaan aksen kebangsaan dalam pemboleh ubah tersebut dihubungkaitkan dengan soal integrasi dan identiti – nasional atau tempatan.

KATA KUNCI aksen, akomodasi, penutur asli, gaya bahasa, pemboleh ubah fonologi, identiti

Penggunaan Bahasa dalam Sesi Kaunseling dari Sudut Lakuan Bahasa

Wan Robiah Meor Osman
mowrobiah@cls.unimas.my

Hamidah Abdul Wahab
awhamidah@cls.unimas.my

Siti Marina Kamil
ksmarina@cls.unimas.my

Pusat Pengajian Bahasa
Universiti Malaysia Sarawak

ABSTRAK Artikel ini berfokus pada kajian penggunaan bahasa dalam kalangan kaunselor pelatih dalam sesi kaunseling di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Secara khusus, kajian ini dilakukan untuk mengenal pasti lakuan bahasa (LB) yang lazim digunakan oleh kaunselor pelatih dalam sesi kaunseling untuk mempengaruhi klien (pelajar). Selain itu, kajian ini juga melihat adakah benar tanggapan masyarakat terhadap khidmat kaunseling sebagai khidmat nasihat. Kajian yang mengaplikasikan metodologi linguistik dalam dunia kaunseling ini memanfaatkan teori lakuan bahasa (TLB), yakni pengkategorian LB cadangan Bach dan Harnish (1979). Pengkategorian LB ini dipilih atas dasar kepersisannya memperinci dan menghuraikan perbezaan linguistik, berpandukan kategori LB seperti pengumuman (constatives), arahan (directives), perjanjian (commissives) dan pengakuan (acknowledgements). Bagi kajian awal ini, seramai 30 orang kaunselor pelatih program kaunseling UNIMAS dipilih dan sesi kaunseling yang mereka kendalikan dirakam serta ditranskripsikan untuk melihat fenomena LB yang lebih dominan. Daripada hasil kajian didapati lakuan bahasa yang paling dominan ialah LB pertanyaan, bersesuaian dengan matlamat khidmat kaunseling itu sendiri yang bertujuan meneroka masalah klien. Dapatan ini secara tidak langsung telah menolak tanggapan khidmat kaunseling sebagai khidmat nasihat. Kajian ini difikirkan amat bermanfaat sebagai panduan dan rujukan kepada masyarakat pembaca dan pengkaji bahasa, terutamanya mereka yang terlibat secara khusus dalam bidang kaunseling.

KATA KUNCI penggunaan bahasa, lakuan bahasa, kaunseling, kaunselor pelatih

Dialek Melayu Pekan: Penggunaan dan Pengekalan

Marylna Maros
marlyna@pkrisc.cc.ukm.my

Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Universiti Kebangsaan Malaysia

ABSTRAK Artikel ini bertujuan memerikan keadaan penggunaan dan pengekalan dialek Melayu Pekan di negeri Pahang dewasa ini. Usaha ini bertolak daripada pemerhatian rawak dan anggapan awal penulis bahawa dialek ini tiada identiti tersendiri kerana di daerah ini seringkali bertemu dengan penutur yang bertutur sama ada dalam variasi dialek Kelantan, Terengganu, atau bahasa Melayu standard. Penulis beranggapan bahawa migrasi dan pertembungan bahasa telah memberikan perubahan kepenggunaan dialek Melayu Pekan yang asli. Dialek ini mungkin sedang mengalami era peralihan apabila wadah linguistik penutur aslinya bertambah hasil pertembungan bahasa dengan penutur dialek yang lain. Faktor ekonomi dan pekerjaan juga memainkan peranan yang penting dalam penggunaan dialek ini. Ketiga-tiga faktor ini berkait rapat dengan kesan modenisasi yang menuntut individu dan komuniti bersaing untuk kedudukan sosial yang lebih tinggi. Perbincangan dalam artikel ini berdasarkan data leksikal yang diperoleh melalui wawancara dengan golongan penutur Melayu Pekan dari lingkungan umur dua puluhan hingga tujuh puluhan. Data tersebut mungkin ada kekurangannya, tetapi cukup untuk menjelaskan secara empirikal persoalan yang asal terhadap kepenggunaan dialek ini. Dapatan dibincangkan dengan menggunakan konsep dalam kerangka Jaringan Sosial oleh Milroy (1980) dan faktor perubahan ekonomi, status, demografi, dan sokongan institusi dalam diskusi peralihan bahasa oleh Giles et al. (1977) dan Appel dan Muysken (1987). Isi makalah ini boleh menyumbang kepada kajian dialek di Malaysia amnya dan status dialek Melayu Pekan khasnya untuk isu perubahan bahasa kesan modenisasi.

KATA KUNCI
jaringan sosial, vernakular, peralihan bahasa, pengekalan bahasa, kepadatan jaringan

Penggunaan Sistem Tulisan Jawi dalam Bahasa Melayu Patani:
Pemuliharaan Bahasa Melayu di Selatan Thailand

Kamaruddin Isayah
khoksai@gmail.com

Universiti Thaksin
Thailand

ABSTRAK Fenomena kepupusan bahasa semakin hari semakin terus berlaku. Bahasa Melayu Patani kini hanya terdapat di kawasan wilayah sempadan selatan Thailand. Bahasa Melayu Patani ialah subbahasa Melayu yang mempunyai ciri-ciri kebahasaan seperti bahasa Melayu yang diguna pakai di negeri Kelantan dan negeri Terengganu. Sungguhpun bahasa Melayu Patani masih lagi digunakan oleh ramai penduduk di kawasan berkenaan, tetapi jumlah purata penduduk di kawasan itu yang boleh menguasai bahasa Melayu Patani telah berubah menjadi semakin berkurangan. Penutur bahasa khususnya generasi muda di kawasan berkenaan lebih berminat memakai bahasa Thai dalam erti kata cenderung mencampuradukkan antara bahasa Thai dengan bahasa Melayu Patani ketika berinteraksi sesama mereka. Faktor yang menyebabkan mengapa bahasa Melayu Patani mengalami gejala kekurangan penggunanya ialah persoalan yang sering diungkitkan dalam kalangan ahli bahasa tempatan masa kini. Sungguhpun fenomena negatif tentang bahasa ini masih berlaku, mahu atau tidak adalah tanggungjawab seluruh penghuni masyarakat pengguna bahasa itu sendiri untuk mencari jalan atau formula yang dapat memperkasakan bahasa ibunda agar terus kekal sebagai identiti masyarakat dan pada masa yang sama berperanan memastikan bahasa tempatan terus diguna pakai meskipun berdepan dengan arus globalisasi.

KATA KUNCI tulisan Jawi, bahasa Melayu, dialek Patani, Melayu Patani bahasa, Selatan Thai

Pengenalan Dialek Melayu Sekadau

Chong Shin
chongshin2002@yahoo.com

Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA)
Universiti Kebangsaan Malaysia

ABSTRAK Artikel ini membicarakan Dialek Melayu Sekadau (selanjutnya DMS) dari aspek tatabunyi (vokal konsonan dan diftong), kelas kata (kata ganti nama, kata kerja, kata adjektif, kata tugas dan penjodoh bilangan) dan aspek sintaksis umum. Hasil analisis mendapati bahawa: (1) kata ganti nama DMS memperlihatkan persamaan dengan dialek-dialek Melayu di Sarawak; (2) kata kerja terbitan dibentuk oleh imbuhan N- atau b´-, antaranya, alomorf N- iaitu {m-}, {n-} dan {N-} paling produktif dalam pembentukan kata kerja; (3) dari segi jumlah partikel, terdapat lima jenis partikel, iaitu bah, am, tih, lah dan no/___Partikel-partikel ini dikenal pasti memainkan fungsi yang berbeza dalam sesuatu ayat; (4) berlainan dengan bahasa Melayu Baku, penjodoh bilangan DMS tidak membezakan antara hidupan kategori manusia dan haiwan; dan, (5) dari segi sintaksis, pembentukan ayat majmuk boleh dengan kehadiran kata hubung ataupun sebaliknya.

KATA KUNCI dialek Melayu Sekadau, tatabunyi, kelas kata, sintaksis, partikel, penjodoh bilangan

Orang Pekak Sebagai Cacat atau Pengguna Minoriti Bahasa: Perspektif Perubatan dan Linguistik

Abdullah Yusoff
dr.aby_pekak@hotmail.com

Jabatan Pendidikan Khas
Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kota Bharu

Rabiaah Mohamed
aleef@hotmail.com

Pusat Pengajian Sains Kesihatan
Universiti Sains Malaysia, Kampus Kubang Kerian

ABSTRAK Komuniti orang pekak berkomunikasi berlainan daripada mereka yang berpendengaran biasa. Orang biasa melalui saluran bunyi, iaitu pertuturan dan orang pekak melalui saluran isyarat. Isyarat yang digunakan orang pekak dikaitkan dengan ketidakmampuan mereka mendengar bunyi akibat kecacatan pada deria pendengaran. Lalu mereka dilabel sebagai orang cacat seperti kumpulan orang cacat yang lain. Akhir-akhir ini timbul pandangan yang melihat orang pekak sebagai tidak memiliki kecacatan tetapi sebagai pengguna bahasa yang berlainan. Perspektif ini dilihat dari perspektif linguistik, manakala dari perspektif perubatan orang pekak dilihat sebagai cacat kerana bermasalah dengan deria dengar dan tidak mampu bertutur. Hal ini akan dibincangkan melalui persoalan yang berikut: (1) Apakah komuniti orang pekak merupakan kumpulan orang yang memiliki kecacatan atau kumpulan pengguna bahasa minoriti? (2) Bagaimanakah kedudukan komuniti orang pekak di Malaysia? (3) Apakah yang dimaksudkan dengan komunikasi dan bagaimanakah orang pekak berkomunikasi? Kefahaman tentang persoalan tersebut penting untuk kita membuat perbandingan, perbezaan dan perkaitannya dengan komunikasi yang digunakan oleh orang pekak, dan akan memberikan maklumat apakah perlu orang pekak dilabel sebagai orang cacat yang tiada bahasa.

KATA KUNCI
orang pekak, pengguna minoriti bahasa, saluran isyarat

Metafora Haiwan:
Kajian Perbandingan Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia

Merry Lapasau
merry@fbmk.upm.edu.my

Arbak Othman
arbak@fbmk.upm.edu.my

Jabatan Bahasa Melayu
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi
Universiti Putra Malaysia

ABSTRAK Artikel ini membahaskan penggunaan metafora haiwan dalam bahasa Melayu dan bahasa Indonesia dan bertujuan untuk menghasilkan kaedah-kaedah kebahasaan secara linguistik dalam metafora haiwan iaitu dalam segi semantik, bentuk dan jenis pembentukan, dan konsepnya. Metafora bahasa Melayu diperoleh daripada kamus umum, kamus peribahasa dan kamus simpulan bahasa dari Malaysia dan Indonesia. Kajian deskriptif ini menggunakan teori metafora konsepsi daripada Lakoff dan Johnson (2008) yang berpendapat bahawa metafora bukan hanya membentuk komunikasi manusia melainkan juga membentuk pemikiran dan perilaku manusia. Daripada kajian ini didapati bahawa masyarakat Melayu Malaysia dan Indonesia meneroka metafora haiwan dengan makna yang sama kerana mereka mempunyai konsep pemikiran yang mirip berdasarkan latar belakang budaya yang berkaitan.

KATA KUNCI semantik, metafora haiwan, konsepsi metafora haiwan

Jurnal Bahasa: Jilid 9 Bil. 2, Disember 2009

Januari 4, 2010 at 8:22 am | Dikirim dalam Uncategorized | Tinggalkan komen

KANDUNGAN


Kata Ganti Nama dalam Interaksi Sosial:
Analisis Sosiopragmatik terhadap Perubahan Perilaku Tutur Etnik Minangkabau Moden

Idris Aman dan Hetti Waluati Triana

ABSTRAK Kebanyakan perbincangan kata ganti nama Melayu yang telah dilakukan terhenti setakat bentuk, maksud, dan penggunaannya dalam perbualan, baik dari sudut pandang pragmatik mahupun sosiolinguistik. Kajian ini meneliti bagaimana kata ganti nama beroperasi dan dioperasikan oleh etnik Minangkabau moden dalam interaksi sosial sesama rakan dan menjadi lebih menarik ketika analisis kata ganti nama ditinjau daripada pemboleh ubah usia dan jantina. Data dikumpulkan dengan mengikut kaedah etnografi, iaitu pemerhatian, temu bual, dan etnopragmatik. Analisis dilakukan secara kualitatif dengan menggunakan paradigma sosiopragmatik. Dapatan menunjukkan kata ganti nama yang digunakan dalam interaksi sosial sesama rakan dalam etnik Minangkabau moden memiliki bentuk dan fungsi yang bervariasi. Kebervariasian tersebut pada asasnya sangat ditentukan oleh aspek sosial pemerannya, terutama aspek usia dan jantina pemeran. Dengan melanjutkan analisis sosial, berdasarkan andaian asas dalam kebanyakan teori tentang perubahan budaya (Saville-Troike, 1989) dan disokong oleh dapatan Eckert (1997), dapat dirumuskan perubahan perilaku tutur etnik Minangkabau Moden.

Sintaksis Frasa Nama Bahasa Kensiu
Fazal Mohamed bin Mohamed Sultan

ABSTRAK Bahasa Austro-Asiatik di Malaysia dikenali sebagai bahasa moribund kerana bahasa ini sedang mengalami kepupusan di Malaysia. Oleh yang demikian, penulisan ini akan memberikan tumpuan pada salah satu daripada bahasa moribund di Semenanjung Malaysia, iaitu bahasa Kensiu yang sedang pupus dengan cepat. Bahasa ini dituturkan oleh orang Kensiu di Baling, Kedah. Jumlah penuturnya kurang daripada 200 orang. Namun demikian, penulisan ini mempunyai skop yang sangat terperinci, iaitu penulisan ini hanya membahaskan frasa nama (FN) bahasa Kensiu sahaja. Analisis deskriptif akan menjelaskan frasa nama bahasa Kensiu serta urutan yang membentuk frasa nama tersebut. Seterusnya, berpandukan analisis deskriptif itu, penulis akan membahaskan struktur sintaksis X-berpalang frasa nama bahasa Kensiu dengan menggunakan kerangka Teori Kuasaan dan Tambatan (Chomsky, 1986). Hasil daripada analisis ini, penulis akan memaparkan struktur sintaksis FN Kensiu yang akan menggambarkan urutan perkataan yang membentuk FN Kensiu.

Penterjemahan Istilah Biologi: Perbandingan Tiga Dekad
Hasnah Mohamad

ABSTRAK Artikel ini membincangkan perubahan istilah biologi dalam tempoh tiga dekad (1960-an, 1980-an, 1990-an). Kajian tertumpu pada istilah biologi yang merupakan istilah terjemahan dan pinjaman kerana bidang biologi merupakan bidang yang diimport dari negara luar, justeru memerlukan peminjaman konsep dalam bidang berkenaan. Kajian ini bertujuan mengkaji kewujudan pola tertentu dalam pembentukan istilah pada tiga dekad yang berlainan. Kajian ini turut menyelidik sikap bahasa masyarakat terhadap istilah bahasa Melayu. Kaedah analisis teks buku istilah dan Pangkalan data Korpus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) digunakan dalam kajian ini. Data yang dianalisis ialah Istilah Kaji Hayat, Perhutanan dan Pertanian (1986), Istilah Biologi (1988), dan Pangkalan data Korpus DBP. Dapatan kajian menunjukkan antara tahun 1968 hingga 1988 lebih 80 peratus istilah yang dikaji telah mengalami perubahan dan perubahan tersebut dihuraikan dalam lima kategori. Selepas tamat tempoh tersebut, iaitu dekad 1990-an. Kajian mendapati hanya lima peratus istilah yang mengalami perubahan. Faktor-faktor yang menyebabkan perubahan istilah tersebut juga telah dikenal pasti. Kajian juga menunjukkan sikap positif masyarakat terhadap istilah yang dihasilkan digambarkan melalui penerimaan dan penggunaan istilah tersebut dalam bahan terbitan buku dan akhbar. Selain itu, pola penggunaan istilah yang berbeza dalam tempoh yang dikaji telah berjaya dikenal pasti.

Transformasi Statistik Senarai Kekerapan Kata dalam Kajian Berasaskan Korpus:
Manifesto Pilihan Raya 2008

Imran Ho Abdullah

ABSTRAK Artikel ini meneliti transformasi statistik maklumat kekerapan kata dalam kajian berasaskan korpus. Berdasarkan satu kajian kes terhadap manifesto pilihan raya 2008, penelitian perbandingan kekerapan iaitu kekerapan mentah, kekerapan relatif, serta visualisasi data kekerapan antara manifesto BN, PKR, PAS, dan DAP dilakukan. Seterusnya, penggunaan kekerapan untuk menjana kata kunci dengan menggunakan statistik ujian khi kuasa dua dan log-likelihood. Transformasi statistik data kekerapan kata menggunakan kaedah multivariat – analisis penghubungan juga dipelopori untuk melihat keberkesanan pelbagai kaedah statistik ini. Dapatan dan implikasi kajian menunjukkan transformasi statistik terhadap data kekerapan serta jenis statistik yang digunakan boleh mempengaruhi dapatan dan membawa kepada kesimpulan yang berbeza tentang hubung kait linguistik antara teks dalam sesuatu korpus.

Akomodasi dalam Komunikasi Verbal antara Budaya:
Masyarakat Melayu-Cina

Puteri Roslina Abdul Wahid

ABSTRAK Inti pati teori akomodasi berasaskan kajian logikal sosiopsikologi terhadap persamaan-tarikan. Kajian ini memperlihatkan bahawa individu akan cuba mempengaruhi individu lain dengan mengurangkan perbezaan antara kedua-duanya. Proses akomodasi beroperasi atas prinsip tersebut dan juga menggambarkan keinginan individu bagi mendapat penerimaan sosial. Artikel ini memperlihatkan bahawa akomodasi bahasa merupakan aspek yang dominan dalam interaksi masyarakat Melayu-Cina. Akomodasi bahasa membantu individu memahami individu lain bertutur dengan caranya tersendiri, memahami perlakuan yang ditafsir mengikut keperluan, situasi dan orang yang dilawan bercakap, dan juga mencari jalan agar komunikasi berjalan lancar serta mengelakkan konflik. Bahasa Melayu merupakan bahasa pilihan dalam komunikasi walaupun berlakunya percampuran kod dan penggunaan bahasa pasar. Apa yang lebih penting ialah proses akomodasi yang digunakan oleh individu sama ada secara sedar atau tidak sedar telah membantu komunikasi berjalan lancar khususnya dalam masyarakat yang multibangsa seperti Malaysia.

Kesan Akustik Gugus Vokal dalam Kata Terbitan Berimbuhan {-an} /-an/
SATO, Hirobumi @ Rahmat

ABSTRAK Kata terbitan bahasa Melayu yang berimbuhan {-an} /-an/ memperlihatkan tiga pola artikulasi pada suku kata terakhir, iaitu (i) konsonan + /-an/, (ii) vokal tunggal + /-an/, dan (iii) diftong + /-an/. Pola yang ketiga yang membentuk gugus vokal bersama imbuhan /-an/ pada suku kata terakhir memberi kesan akustik yang jelas berbeza dengan pola yang kedua yang memperlihatkan kehadiran bunyi peralihan dalam gugus vokal seperti dalam bentuk [-i+ja+an] atau [-u+wa+an]. Walau bagaimanapun, ciri khas yang terdapat pada gugus vokal berpola (iii) kurang diperhatikan dari segi fonetik, malahan sesetengah pengkaji menggolongkan kedua-dua pola (ii) dan (iii) kepada struktur gugus vokal yang sama, iaitu –VKVK#. Makalah ini bertujuan untuk mengkaji struktur peralihan dalam gugus vokal, dengan menggunakan salah satu kaedah fonetik eksperimental. Data fonetik untuk eksperimen ini telah diperoleh daripada 30 orang penutur jati bahasa Melayu.

Kajian An Abridged Malay-English Dictonary Susunan R.J. Wilkinson dari Sudut Etimologi
S. Nathesan

ABSTRAK Kajian tentang etimologi bahasa Melayu amat terhad berbanding dengan kajian-kajian lain. Barangkali, kekurangan dokumen dan bahan lama mematahkan semangat pengkaji yang berminat untuk mengendalikan projek etimologi. Salah satu sumber yang cukup baik untuk kajian etimologi ialah kamus-kamus lama. Justeru, kajian ini merupakan satu percubaan untuk mengkaji sebuah dokumen lama, An Abridged English-Malay Dictionary, iaitu sebuah kamus dwibahasa yang diusahakan oleh R.J Wilkinson seratus tahun dahulu. Antara maklumat yang diteliti ialah asal usul bagi kebanyakan kata pinjaman bagi bahasa Melayu, perubahan bentuk perkataan ketika dibandingkan dengan bentuk terkini, serta perubahan makna yang dialami oleh perkataan ini dalam peredaran masa. Diharapkan maklumat yang diperoleh daripada dokumen lama ini akan memberi sedikit sebanyak pengertian dalam etimologi Pengajian Melayu.

Alternasi dalam Fonologi Subdialek Kedah Utara
Shahidi A.H.

ABSTRAK Kajian ini bertujuan menyerlahkan proses-proses fonologi yang terdapat dalam subdialek Kedah utara di samping memaparkan distribusi fonem vokal dan konsonannya. Kawasan yang menjadi lokasi pengumpulan data ialah di sekitar kawasan Naka, Kuala Nerang, dan Pedu, dalam daerah padang Terap, Kedah. Pada hakikatnya, huraian penyelidikan terdahulu lebih terarah menyamakan proses fonologi subdialek Kedah Utara dengan subdialek Kedah persisiran. Bagaimanapun, dapatan kajian ini membuktikan bahawa subdialek Kedah Utara tetap mempunyai ciri-ciri tersendiri yang unik dalam kes-kes tertentu misalnya reduplikasi konsonan sebagai pengganti proses asimilasi nasal-obstruen, proses peleburan segmen dan unsur aspirasi. Penulisan ini menyerlahkan hakikat bahawa kewujudan konsonan rangkap (yang ditemui hadir pada lingkungan tengah dalam data kajian) adalah hasil proses asimilasi dan perubahan struktur suku kata yang berlandaskan syarat-syarat (fonologi) dan lingkungan tertentu. Pengkaji berpendapat hasil kajian ini sekurang-kurangnya telah membuktikan bahawa subdialek Kedah Utara memiliki siri-siri tertentu yang khusus membezakannya dengan variasi dialek Kedah yang lain (dialek Kedah persisiran biasanya).

Jurnal Bahasa Disember 2009 sudah ada di pasaran.

Jurnal Bahasa: Jilid 9 Bil. 1, Jun 2009

November 19, 2009 at 2:37 am | Dikirim dalam Uncategorized | 2 Komen

KANDUNGAN


Pola Ayat Dasar Ke-4 Bahasa Melayu: Pemerian dari Perspektif Pragmatik

Hasmidar Hassan

ABSTRAK Pada dasarnya Tatabahasa Dewan (2004: 322) telah menggolongkan empat pola ayat dasar bahasa Melayu seperti: (1) Frasa Nama + Frasa Nama, (2) Frasa Nama + Frasa Kerja, (3) Frasa nama+ Frasa Adjektif, dan (4) Frasa Nama + Frasa Sendi Nama. Penggolongan pola ayat dasar oleh Tatabahasa Dewan ini dibuat berdasarkan ayat-ayat dasar bentuk permukaan yang terhasil dalam pertuturan ataupun penulisan penutur bahasa Melayu. Bagi pola ayat 1, 2 dan 3, unsur inti yang mengisi konstituen subjek dan predikat itu mengkonsepsikan makna yang jelas dan dapat ditanggapi akal penutur bahasa Melayu. Bagaimanapun, bagi pola ayat 4, unsur inti yang mengisi konstituen predikat, iaitu kata sendi nama jelas sekali berbeza dengan unsur inti yang mengisi predikat pola ayat 1, 2 dan 3 kerana ia tidak mengkonsepsikan sebarang makna konsep pada penutur ataupun pengguna bahasa Melayu. Dengan kata lain, kata sendi nama yang menjadi unsur inti frasa sendi nama dalam konstituen predikat ini tidak mempunyai makna rujukan, sama ada yang bersifat konkrit ataupun abstrak. Hal ini sebenarnya merupakan satu persoalan yang belum terjawab secara sempurna kenapa frasa sendi nama yang unsur intinya diisi kata sendi nama dapat mewakili satu pola dasar bagi ayat bahasa Melayu. Kata sendi yang tidak mengkonsepsikan sebarang makna konsep sepatutnya menyukarkan frasa ini ditanggapi dan difahami oleh penutur ataupun pengguna bahasa Melayu selama ini. Namun hal yang sebaliknya berlaku, frasa sendi nama hadir dalam konstituen predikat dalam ayat-ayat bahasa Melayu dan menampakkan seolah-olah kata sendi ini mempunyai makna yang dikonsepsikan dan difahami oleh penutur ataupun pengguna bahasa Melayu selama ini. Persoalan ini nyata sekali memerlukan penjelasan dan analisis yang mendalam dan berdasarkan konteks penggunaan yang sebenar dalam kehidupan seharian penutur dan pengguna bahasa Melayu. Dan kajian seumpama ini hanya dapat ditangani oleh bidang pragmatik, satu-satunya bidang kajian dalam linguistik yang dapat menjelaskan dan memerikan makna dan penggunaan bahasa berdasarkan konteks. Dengan menggunakan pendekatan pragmatik, khususnya kerangka teori Relevans, pengkaji percaya persoalan pola ayat ke-4 yang digunakan oleh penutur dan pengguna bahasa Melayu dapat dijawab dengan lebih kritis dan empiris berdasarkan prinsip-prinsip Relevans kognitif dan komunikatif serta idea-idea yang digagaskan oleh Sperber dan Wilson (1986, 1995).

Manifestasi Nilai Setia Berasaskan Teori Hibrid
Hishamudin Isam dan Norsimah Mat Awal

ABSTRAK Kajian nilai makna bagi sesuatu nilai ialah sesuatu yang menarik untuk diteroka, lebih-lebih lagi dengan kemunculan pelbagai teori baharu berkenaan dengan pengkajian makna yang boleh dieksploitasi dan diterapkan ke dalam kajian makna sesuatu nilai. Sehubungan dengan itu, kajian ini akan memperincikan makna nilai yang diteliti daripada kepelbagaian penggunaan kata nilai berpandukan Teori Hibrid (Tendahl, 2006). Nilai yang dijadikan subjek kajian ialah nilai setia yang ditelusur dari subkorpus data akhbar. Setiap kata akan diteliti maknanya berdasarkan Teori Hibrid bagi menjelaskan proses pemetaan domain dan membuat kesimpulan secara pragmatik. Dapatan awal mendapati bahawa setia bukan sekadar nilai semata-mata (makna pinggiran ketiga), malah lebih daripada itu, setia dimanifestasikan sebagai suatu sifat (makna teras), dan empat makna pinggiran lain.

Pengaruh Tatabahasa Eropah dalam Tatabahasa Bahasa Melayu Awal
Karim Harun

ABSTRAK Penulisan tatabahasa bahasa Melayu yang bermula pada abad ke-17 dilakukan oleh orang Belanda. Tatabahasa bahasa Melayu pertama muncul dalam bentuk jadual yang ditulis oleh Frederick de Houtman (1623), dan tatabahasa yang lengkap ditulis oleh Johannes Roman pada tahun 1653. Tatabahasa-tatabahasa ini ialah tatabahasa Melayu yang awal, dan juga antara tatabahasa terawal di dunia. Tatabahasa ini banyak dipengaruhi oleh tatabahasa bahasa Eropah, misalnya perbincangan tentang konjugasi, kelas kata, dan sebagainya. Justeru makalah ini akan membincangkan pengaruh tatabahasa bahasa Eropah terhadap tatabahasa bahasa Melayu ini dari perspektif sejarah linguistik. Perbincangan akan memberikan tumpuan terhadap pengaruh bahasa Latin dan bahasa Belanda dalam tatabahasa bahasa Melayu.

Gaya Lakuan Permohonan dalam Kalangan Pelajar di Malaysia
Mohammad Fadzeli Jaafar, Marlyna Maros dan Maslida Yusof

ABSTRAK Tujuan makalah ini adalah untuk menggambarkan ciri sosiopragmatik dalam kalangan pelajar di Malaysia dalam lakuan bahasa permohonan bahasa Melayu. Untuk tujuan tersebut, seramai 264 orang pelajar telah diminta memberi respons terhadap lima domain yang berbeza dalam menyatakan permohonan mereka. Kajian ini mengaplikasikan formula semantik oleh Byon (2002) tentang lakuan sokongan permohonan: pembuka kata, permukaan, pengelakan, persediaan dan pujian. Kajian ini bertujuan untuk menyiasat: (i) pola lakuan permohonan pelajar Malaysia; dan (ii) strategi permohonan dalam kalangan pelbagai etnik di Malaysia (Melayu, Cina dan India) dan (iii) penanda permohonan dalam bahasa Melayu. Hasil kajian menunjukkan pelajar Malaysia menggunakan semua lakuan sokongan permohonan dalam ujaran mereka. Bagaimanapun, permohonan langsung dan tak langsung digunakan secara dominan oleh pelajar Malaysia berbanding jenis permohonan yang lain. Dapatan ini mencadangkan bahawa tanggapan kesopanan dalam kalangan pelajar dipengaruhi oleh pemboleh ubah sosial.

Jenis dan Penggunaan Kata Ganti Nama Diri dalam Bahasa Urak Lawoi di Pulau Lipek, Thailand
Noriah Mohamed dan Hasnida Chekha

ABSTRAK Urak Lawoi (Chaolay) ialah nama bagi minoriti yang menduduki pulau dan pantai di sebelah barat, selatan Thailand. Kadangkala kumpulan ini dikenali sebagai Chao Thalay dan Chaonam yang bermakna orang laut ataupun orang air, dan ada di sesetengah tempat mereka digelar Chao Thai Mai yang bermaksud penduduk Thai baharu. Makalah ini akan memberikan tumpuan kepada salah satu komuniti Urak Lawoi ini, iaitu komuniti yang menetap di Pulau Lipek (Lipea), Thailand. Untuk mendapatkan gambaran umum, makalah ini akan menghuraikan latar belakang dan asal usul Urak Lawoi. Secara khusus, makalah ini akan membandingkan kata ganti nama diri bahasa Urak Lawoi dengan bahasa Melayu standard yang terdapat di Malaysia dari segi definisi, jenis dan pola penggunaan.

Bahasa Melayu dan Komunikasi dalam Dunia Globalisasi:
Persoalan Keupayaan Bahasa Melayu, Keutuhan Jati Diri Bangsa Melayu dan Ketakatan Bahasa Melayu

Teo Kok Seong

ABSTRAK Kertas kerja ini cuba meneliti keupayaan bahasa Melayu untuk mengendalikan komunikasi, lebih-lebih lagi yang moden sifatnya, dalam dunia globalisasi. Keupayaan bahasa Melayu, diteliti dari segi pembangunan bahasa Melayu, dalam kapasitinya selaku bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara, termasuklah sebagai bahasa pengantar ilmu, semenjak Malaysia menjadi sebuah negara berdaulat mulai 31 Ogos 1957.

Kertas kerja ini juga cuba meneliti bahasa Melayu sebagai nadi kepada ketakatan serta jati diri bangsa Melayu, dalam konteks kemusnahan/kehilangan bahasa Melayu, khususnya dalam konteks sebagai bahasa ibunda atau etnik bangsa atau masyarakat Melayu, akibat berlakunya peralihan bahasa, dari bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris, mulai 2003, untuk pendidikan sains dan teknologi.

Pertalian bahasa Melayu-budaya Melayu selaku simbol dan kekuatan kepada identiti/jati diri bangsa atau masyarakat Melayu, ikut disentuh, dalam kerangka keutuhan khazanah budaya Melayu dalam bahasa Melayu, yang boleh terhakis atau hilang, sebagai akibat buruk daripada peralihan bahasa ini.

Memasyarakatkan Kajian Morfologi dalam Dunia Melayu

Zaharani Ahmad

ABSTRAK Memasyarakatkan kajian morfologi bermaksud menyebarluaskan sesuatu kajian morfologi agar maklumat mengenainya dimaklumi, diketahui, difahami, dihayati dan diamalkan secara menyeluruh oleh masyarakat. Dalam usaha memasyarakatkan kajian morfologi ini, dua perkara penting yang perlu diberi penekanan ialah (i) mengenal pasti jenis kajian morfologi yang ingin dimasyarakatkan, dan (ii) mengenal pasti cara dan kaedah yang sesuai untuk menyebarluaskan kajian morfologi tersebut. Dalam konteks pemasyarakatan bahasa, kajian morfologi yang dijangka mudah tersebar dan meresap masuk ke dalam jiwa masyarakat adalah kajian yang menghurai dan menjelaskan bahasa yang diketahui dan disenangi oleh pengguna bahasa itu sendiri, iaitu pertuturan yang lazim mereka dengar dan gunakan dalam kehidupan seharian. Sehubungan itu juga, kajian morfologi yang ingin dimasyarakatkan itu mestilah kajian yang dapat memantapkan lagi ilmu linguistik Melayu yang sedia ada. Kajian morfologi yang dapat menepati gagasan ini adalah kajian yang menerapkan dua pendekatan berikut, iaitu (i) linguistik korpus, dan (ii) linguistik hipotetiko-deduktif. Dalam konteks menyebarluaskan hasil kajian pula, sekurang-kurang terdapat empat cara yang munasabah yang boleh dilaksanakan, iaitu (i) penyebaran melalui persidangan, (ii) penyebaran melalui penerbitan, (iii) penyebaran melalui pengajaran, dan (iv) penyebaran melalui portal.

Jurnal Bahasa Jun 2009 sudah ada di pasaran.

Selamat Datang

Ogos 28, 2009 at 7:25 am | Dikirim dalam Uncategorized | Tinggalkan komen

Selamat datang ke blog Jurnal Bahasa terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Jurnal ini merupakan sebuah jurnal linguistik yang menjadi wadah kepada ahli linguistik membentangkan pandangan dan penemuan mereka dalam bidang linguistik.

Jurnal Bahasa boleh didapati melalui talian dengan melayari sesawang:

Koperasi Dewan Bahasa dan Pustaka (M) Bhd.

atau

Dawama Sdn. Bhd.

Create a free website or blog at WordPress.com.
Entries dan komen feeds.